Hidup di dunia tidak lepas dari ujian  dan dugaan dari Allah. Itu  sudah menjadi rencah kehidupan manusia. Ada  dua jenis bentuk ujian buat  manusia, ujian dalam bentuk kesenangan dan  ujian dalam bentuk  kesusahan.
Cuma, acapkali apabila disebut ujian Allah  maka rata-rata manusia  beranggapan ujian itu adalah dalam bentuk bala  dan musibah. Ramai yang  lupa akan ujian kesenangan yang datang dalam  pelbagai bentuk kekayaan,  kekuasaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi.
Bahkan ujian kesenangan sebenarnya lebih sukar kerana kebiasaannya   manusia itu lupa kepada Tuhan tatkala dirinya mengecapi pelbagai   kesenangan hidup. Apabila ditimpa kesusahan, kebanyakan manusia akan   kembali menyeru Tuhannya.
Mengenai ujian kesusahan, firman Allah di dalam Surah al-Baqarah:
[155] Demi  sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit  perasaan takut  (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan  (dengan berlakunya)  kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil  tanaman. Dan berilah  khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
[156] (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
[157] Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
[156] (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
[157] Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
Maka  antara ujian yang datang daripada Allah itu ialah timbulnya  perasaan  takut di hati, kelaparan, hilangnya harta benda, tanaman dan  orang yang  disayangi. Kebiasaannya apabila manusia ditimpa musibah,  pastinya mereka  akan berada dalam keadaan sedih, dukacita dan gusar.  Tetapi manusia  yang bersabar menghadapi ujian akan menerima khabar  gembira.
Ciri Manusia Yang Sabar
Manusia yang sabar ialah mereka yang apabila  ditimpa kesusahan akan  segera ingat kepada Allah, dengan berkata, "Inna  lillah wa inna ilayhi  raji'un," bahawa hidup kita ini secara  keseluruhannya adalah hak milik  mutlak Allah - apa sahaja yang kita  miliki, baik harta, kuasa, bahkan  nyawa kita dan orang-orang yang kita  sayangi kesemuanya adalah hak  milik Allah. Maka pastinya Allah berkuasa  melakukan apa sahaja yang  dikehendaki-Nya ke atas segala yang  dimiliki-Nya, dan akan tiba masa  dan ketika di mana kesemuanya akan  dikembalikan kepada-Nya.
Para 'ulama mengingatkan bahawa sabar itu  mestilah berlaku pada  pukulan pertama, iaitu ketika mula-mula musibah  melanda. Bukannya  seperti kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Manusia  apabila mula-mula  ditimpa musibah, ramai yang akan cepat melatah dan  tidak redha dengan  ketentuan tersebut. Setelah keadaan reda sedikit dan  dia mula sedar  bahawa dia tidak memiliki jalan keluar, barulah dia akan  mula insaf,  redha kepada ketentuan Tuhan dan berkata, "Sabar sahajalah,  nak buat  macam mana lagi..."
Itu bukanlah konsep sabar yang sebenar.  Sabar yang sebenar ialah  pada detik pertama musibah melanda, lantas  manusia yang bersabar terus  redha dengan ketentuan Allah tanpa sedikit  pun timbul rasa kecewa atau  penyesalan. Mereka inilah yang akan mendapat  khabar gembira tersebut  walaupun dilanda kesusahan.
Apa pula  bentuk khabar gembira itu? Pertama khabar gembira itu  datang dalam  bentuk selawat daripada Allah, iaitu mendapat keberkatan  daripada Allah  dan keampunan dari dosa-dosa.
Kemudian datang pula rahmat Allah  melimpahi mereka. Sa'id ibn Jubayr  rahimahullah,  seorang tokoh Tabi'in mengatakan bahawa rahmat itu ialah  pelindung  daripada siksa azab neraka. Dan akhirnya mereka adalah orang  yang  benar-benar mendapat petunjuk daripada Allah. Orang yang mendapat   petunjuk pula akan mendapat ganjaran yang banyak kerana mereka  mengikut  petunjuk Allah...

 
 
 


 
 
 
 



 


0 ulasan:
Post a Comment